01Hancur Terbakar

Ramai pemilik perniagaan percaya aset mereka sudah dilindungi kerana ada MRTT, MLTT, atau HPRRT. Ini salah satu salah faham paling mahal dalam dunia perniagaan Malaysia.

Tanya mana-mana Founder PKS: "Aset perniagaan anda ada Takaful?" Kebanyakan akan jawab ya. Mereka yakin kerana setiap kali membeli peralatan secara sewa beli, ada HPRRT. Setiap kali mengambil pinjaman premis, ada MRTT atau MLTT. Setiap bulan, sumbangan dipotong dari ansuran. Jadi semuanya dilindungi, betul?

Tidak. Dan "tidak" di sini bukan sekadar jawapan teknikal. Ia bermaksud apabila bencana melanda, Founder yang selama ini percaya dirinya dilindungi akan mendapati bahawa Takaful yang beliau bayar selama ini melindungi sesuatu yang LAIN daripada apa yang beliau sangka.

RM2.62B
Kerugian Kebakaran Nasional 2023
JBPM / Bernama
70%
Peningkatan Kes Kebakaran Sabah 2023
JBPM Sabah
RM500J
Kerugian Kebakaran Sabah 2023
JBPM Sabah
Senario

En. Faizal memiliki bengkel kimpalan dengan peralatan bernilai RM800,000, semuanya dibeli secara sewa beli. Baki hutang: RM520,000. Beliau ada HPRRT untuk setiap peralatan. Beliau yakin asetnya dilindungi. Satu malam, litar pintas menyebabkan kebakaran. Keseluruhan bengkel musnah. En. Faizal masih hidup. Beliau menghubungi syarikat pembiayaan untuk membuat tuntutan.

"HPRRT hanya melindungi baki hutang sekiranya peminjam meninggal atau hilang upaya kekal. Encik masih hidup. Tuntutan tidak boleh diproses."

Dalam satu ayat, En. Faizal baru memahami bahawa Takaful yang beliau bayar selama ini tidak pernah melindungi peralatannya. Ia melindungi hutangnya. Dan hanya jika beliau mati.

02Dua Jenis Takaful Yang Berbeza Tujuan

Terdapat dua kategori Takaful yang melindungi dua perkara yang sangat berbeza.

Istilah Dalam Artikel Ini

HPRRT - Skim Perlindungan Sewa Beli (Hire Purchase Reducing Redemption Term Takaful). Takaful Hutang yang dilampirkan pada pembiayaan sewa beli peralatan.

MRTT - Takaful Gadai Janji Berkurangan (Mortgage Reducing Term Takaful). Takaful Hutang yang dilampirkan pada pinjaman hartanah, had berkurang mengikut baki pinjaman.

MLTT - Takaful Gadai Janji Aras Tetap (Mortgage Level Term Takaful). Sama seperti MRTT tetapi had perlindungan kekal tetap sepanjang tempoh.

Fire SME - Takaful Kebakaran PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana). Takaful Aset yang melindungi Bangunan dan Kandungan daripada kerosakan fizikal.

Takaful HutangTakaful Aset
TujuanMelangsaikan baki hutang yang belum dijelaskan kepada pemberi pinjamanMembaiki atau mengganti aset fizikal yang rosak atau musnah akibat bencana
PenerimaBank atau syarikat pembiayaan (bukan anda, bukan keluarga anda)Pemilik aset (anda atau syarikat anda secara langsung)
PencetusPeminjam meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal sahajaAset rosak atau musnah akibat peristiwa yang dilindungi dalam sijil
KategoriSatu kategori sahaja: baki hutang yang semakin berkurang (reducing)Dua kategori: Bangunan (bina semula atau baiki struktur) dan Kandungan (ganti isi dalam bangunan)
ContohHPRRT (Sewa Beli), MRTT (Gadai Janji), MLTT (Gadai Janji Aras Tetap)Fire SME Bangunan, Fire SME Kandungan, atau kedua-duanya sekali
Aset Musnah?TIDAK bayar apa-apa. Hutang masih kekal. Aset sudah tiada.BAYAR kos bina semula atau ganti. Perniagaan boleh pulih.
Kembali Kepada En. Faizal

HPRRT (Takaful Hutang) tidak bayar kerana Faizal masih hidup. Faizal kini menanggung RM520,000 hutang untuk peralatan yang hanyalah besi buruk. Jika Faizal mempunyai Fire SME Kandungan (Takaful Aset), peralatan boleh diganti. Kedua-duanya diperlukan, tetapi untuk tujuan yang berbeza.

Bangunan vs Kandungan: Dua Kategori Takaful Aset

Takaful Aset mempunyai dua kategori perlindungan yang berbeza dan masing-masing boleh diambil secara berasingan atau bersama:

Bangunan (Building)

Apa Yang Dilindungi: Struktur fizikal bangunan itu sendiri - dinding, bumbung, lantai, tangga, sistem paip tetap, dan pendawaian elektrik tetap.

Tujuan Pampasan: Bina semula atau baiki struktur Bangunan seperti sediakala sebelum bencana berlaku.

Siapa Perlu Ambil: Pemilik bangunan. Jika anda menyewa premis, perlindungan Bangunan lazimnya tanggungjawab tuan tanah.

Kandungan (Content)

Apa Yang Dilindungi: SEMUA barang di dalam bangunan yang bukan sebahagian daripada struktur - peralatan, jentera, inventori, perabot, kelengkapan, dan sistem yang boleh dialih.

Tujuan Pampasan: Ganti atau baiki Kandungan yang hancur atau rosak akibat bencana.

Siapa Perlu Ambil: Pemilik perniagaan yang beroperasi di premis tersebut, sama ada pemilik bangunan atau penyewa.

Ini perbezaan yang sangat penting untuk penyewa premis. Tuan tanah mungkin mempunyai Takaful Bangunan, tetapi Kandungan anda (peralatan RM500,000, inventori RM200,000, perabot RM50,000) bukan tanggungjawab tuan tanah. Anda perlukan Fire SME Kandungan tersendiri.

Apa Sebenarnya Termasuk Dalam "Kandungan"?

Yang Termasuk Kandungan

Peralatan Dan Jentera - mesin, alat, komputer, pencetak

Inventori Dan Stok - Bahan Mentah, barang siap, barang dalam proses

Perabot Dan Kelengkapan - meja, kerusi, rak, kabinet

Sistem Dan Pemasangan - pendawaian, aircond, sistem keselamatan

Rekod Dan Dokumen - tertakluk kepada had tertentu

Yang TIDAK Termasuk

Struktur Bangunan - dinding, bumbung, lantai (dilindungi oleh perlindungan Bangunan)

Kenderaan Bermotor - dilindungi oleh motor Takaful berasingan

Wang Tunai - memerlukan tambahan "Wang Tunai" tersendiri

Aset Pekerja - barang peribadi pekerja bukan tanggungjawab Fire SME

Perlindungan asas Fire SME hanya melindungi Kandungan daripada TIGA punca sahaja: api, kilat, dan letupan. Untuk punca lain, anda perlu menambah Peril Khas dan Tambahan.

03Fire SME: Peril, Tambahan, dan Perlindungan Menyeluruh

Perlindungan asas hanya tiga punca. Untuk perlindungan sebenar, anda perlu memahami peril dan tambahan.

Peril Asas (Basic Perils)

Setiap sijil Fire SME bermula dengan tiga punca asas sahaja. Kemusnahan Kandungan daripada selain tiga ini TIDAK dilindungi melainkan anda menambah Peril Khas.

Kebakaran

Sebarang kebakaran tidak disengajakan termasuk litar pintas, wayar rosak, memasak terlupa, dan api yang merebak dari premis bersebelahan. Kebakaran yang disengajakan (arson) oleh pemilik TIDAK dilindungi, tetapi arson oleh pihak ketiga lazimnya dilindungi.

Kilat

Kerosakan langsung akibat panahan petir ke premis atau peralatan. Termasuk lonjakan kuasa yang merosakkan peralatan elektronik. Malaysia antara negara tertinggi kadar kilat di dunia.

Letupan

Letupan dandang, tangki gas, bahan kimia, atau bahan mudah terbakar. Bengkel, kilang, dan restoran yang menggunakan gas memasak mempunyai risiko lebih tinggi.

Peril Khas (Special Perils)

Perlindungan asas Fire SME hanya melindungi daripada api, kilat, dan letupan. Jika premis atau Kandungan anda rosak akibat PUNCA LAIN, perlindungan asas tidak akan membayar apa-apa melainkan anda telah menambah Peril Khas yang berkenaan. Setiap Peril Khas ditambah secara individu mengikut profil risiko lokasi dan industri perniagaan anda. Tekan setiap satu untuk memahami apa yang dilindungi dan salah anggap yang biasa:

Banjir

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan Kandungan akibat air banjir yang masuk ke premis. Merangkumi peralatan, inventori, perabot, dan sistem elektrik yang rosak akibat rendaman air. Di Malaysia dengan dua musim monsun setiap tahun, ini bukan kemewahan tetapi keperluan.

Salah Anggap: "Premis saya di tingkat atas, tak akan banjir." Banjir kilat di kawasan bandar boleh berlaku di mana sahaja. Sistem saliran yang tersumbat, hujan lebat yang singkat, dan pembangunan sekitar yang mengubah aliran air boleh menyebabkan banjir di lokasi yang tidak dijangka.
Ribut / Taufan

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan Kandungan akibat angin kencang, hujan lebat, ribut petir, dan taufan. Termasuk bumbung terbang yang menyebabkan air hujan masuk dan merosakkan peralatan dalaman. Juga melindungi kerosakan akibat objek yang diterbangkan angin menghentam premis.

Salah Anggap: "Malaysia tiada taufan." Benar, Malaysia jarang dilanda taufan. Tetapi ribut petir yang kuat, angin kencang semasa monsun, dan hujan lebat yang luar biasa kerap berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan signifikan kepada premis dan Kandungan.
Rusuhan / Mogok / Vandalisme

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan premis dan Kandungan akibat rusuhan awam, mogok pekerja, tindakan jahat (malicious damage), dan vandalisme. Merangkumi kos pembaikan dan penggantian Kandungan yang rosak semasa insiden.

Salah Anggap: "Malaysia negara aman, tak perlu." Vandalisme dan tindakan jahat boleh berlaku di mana-mana. Premis perniagaan yang terletak di kawasan terpencil atau yang beroperasi sehingga lewat malam lebih terdedah. Satu insiden vandalisme boleh menelan kos beribu ringgit.
Kerosakan Impak

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan Kandungan dan premis akibat perlanggaran kenderaan, objek jatuh dari bangunan bersebelahan, pokok tumbang menimpa premis, atau kerosakan oleh kren dan jentera pembinaan.

Salah Anggap: "Premis saya jauh dari jalan raya." Pokok tumbang dan objek jatuh tidak terhad kepada premis tepi jalan. Tapak pembinaan berdekatan boleh menyebabkan kerosakan daripada bahan binaan yang jatuh atau jentera yang hilang kawalan.
Paip Pecah / Limpahan Air

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan Kandungan akibat pecah atau kebocoran sistem paip dalaman, tangki air melimpah, sprinkler rosak, dan limpahan air dari premis bersebelahan atau tingkat atas.

Salah Anggap: "Paip tak pernah pecah pun selama ini." Paip yang sudah berusia 10-15 tahun mempunyai risiko kebocoran yang semakin meningkat. Satu kebocoran malam boleh merendam keseluruhan premis tanpa sesiapa sedar sehingga pagi - peralatan elektronik, dokumen, dan inventori musnah.
Tanah Mendap / Runtuh

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan premis dan Kandungan akibat tanah mendap (subsidence), tanah runtuh (landslip), atau pergerakan tanah yang menjejaskan struktur Bangunan dan isi kandungannya.

Salah Anggap: "Tanah mendap cuma berlaku di kawasan bukit." Tanah mendap juga boleh berlaku di kawasan rata akibat pengaliran air bawah tanah, kerja-kerja pembinaan bersebelahan, atau kegagalan sistem saliran. Kerosakan lazimnya teruk dan kos pembaikan tinggi.

04Tambahan: Perlindungan Komprehensif Dalam Satu Pakej

Isu utama yang kita nak elak ialah aset hancur terbakar, atau rosak akibat punca lain jika anda sudah menambah Peril Khas. Tapi dah alang-alang ambil Fire SME, wajar sekali menambah perlindungan lain yang tidak diliputi oleh pelan asas supaya lebih menyeluruh.

Semua tambahan di bawah ini TIDAK boleh diambil secara standalone. Anda perlu mengambil pelan asas Fire SME terlebih dahulu, kemudian melekatkan (attach) mana-mana tambahan yang bersesuaian dengan profil risiko perniagaan anda.

Setiap tambahan di bawah menangani risiko spesifik yang wujud dalam operasi harian perniagaan. Tekan setiap kad untuk memahami apa yang sebenarnya dilindungi dan apa yang ramai tersalah anggap.

Gangguan Perniagaan (Business Interruption)

Apa Yang Dilindungi: Keuntungan kasar yang hilang dan kos tetap berterusan selama perniagaan tidak beroperasi akibat bencana yang dilindungi. Ini termasuk gaji pekerja, sewa premis, ansuran pinjaman, utiliti, sumbangan Takaful, dan sebarang kos tetap yang perlu terus dibayar walaupun premis ditutup.

Bagaimana Ia Berfungsi: Anda menetapkan tempoh indemniti - biasanya 3 hingga 12 bulan bergantung kepada berapa lama perniagaan anda memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Pengendali Takaful mengira pampasan berdasarkan rekod kewangan syarikat (penyata untung rugi, aliran tunai) untuk tempoh 12 bulan sebelum bencana. Had perlindungan sepatutnya mencerminkan keuntungan kasar tahunan anda.

Apa Yang Ramai Tidak Tahu: Tempoh pemulihan sebenar sering lebih lama daripada jangkaan. Mengganti mesin sahaja boleh mengambil 2-3 bulan (pesanan, penghantaran, pemasangan, ujian). Tambah masa untuk renovasi premis, latihan semula pekerja, dan membina semula pangkalan pelanggan. Tempoh indemniti 3 bulan mungkin tidak mencukupi untuk perniagaan pembuatan.

Salah Anggap: "Fire SME ganti aset, itu sudah cukup." Aset diganti, tapi siapa bayar gaji 20 pekerja dan sewa RM15,000 sebulan selama tempoh pemulihan? Pekerja yang tidak dibayar akan berhenti. Pelanggan akan berpindah ke pesaing.
Jaminan Kesetiaan (Fidelity Guarantee)

Apa Yang Dilindungi: Kerugian kewangan langsung akibat ketidakjujuran pekerja yang dinamakan dalam sijil. Merangkumi kecurian tunai, penyelewengan akaun, pemalsuan dokumen, pengeluaran stok tanpa kebenaran, dan penyalahgunaan dana syarikat melalui invois atau resit palsu.

Bagaimana Ia Berfungsi: Anda menamakan pekerja berisiko tinggi (yang mempunyai akses kepada wang, akaun bank, atau inventori bernilai) dan menetapkan had perlindungan untuk setiap individu atau secara kumulatif. Tuntutan memerlukan laporan polis dan bukti penyelewengan melalui audit. Terdapat tempoh penemuan, lazimnya 12 hingga 24 bulan selepas penyelewengan berlaku.

Apa Yang Ramai Tidak Tahu: Jaminan Kesetiaan di Malaysia lazimnya diambil sebagai tambahan dalam pakej Fire SME dan jarang ditawarkan secara berasingan. Dan ia hanya melindungi PEKERJA, bukan rakan kongsi, pemegang saham, atau pengarah. Untuk memahami perlindungan terhadap risiko rakan kongsi, rujuk Bila Kepercayaan Retak.

Salah Anggap: "Jaminan Kesetiaan ialah produk standalone." Di Malaysia, Jaminan Kesetiaan lazimnya diambil sebagai tambahan dalam pakej Fire SME dan jarang ditawarkan secara berasingan. Dan ia hanya melindungi PEKERJA, bukan rakan kongsi, pemegang saham, atau pengarah.
Kaca / Panel Kaca (Plate Glass)

Apa Yang Dilindungi: Semua permukaan kaca tetap di premis - cermin, tingkap, panel kaca, pintu kaca automatik, partition kaca, cermin hiasan, dan papan tanda kaca. Perlindungan merangkumi kos penggantian kaca, bingkai jika rosak bersama kaca, kos pemunggahan dan pemasangan semula, dan papan penutup sementara semasa menunggu penggantian.

Apa Yang Ramai Tidak Tahu: Kos penggantian kaca tempered atau laminated untuk premis komersial boleh mencecah RM5,000 hingga RM50,000 bergantung kepada saiz dan jenis. Kedai, restoran, dan pejabat dengan bahagian hadapan kaca penuh amat terdedah. Satu insiden vandalisme atau ribut boleh menelan kos yang tidak dijangka.

Salah Anggap: "Kaca kecil, tak mahal." Sebuah kedai atau restoran dengan bahagian hadapan kaca penuh boleh menelan kos RM5,000 hingga RM50,000 untuk penggantian sahaja. Pejabat dengan partition kaca tempered boleh lebih tinggi lagi.
Pecah Masuk (Burglary)

Apa Yang Dilindungi: Kerugian akibat kecurian melalui kemasukan secara paksa ke premis. Merangkumi: stok dan inventori yang dicuri, peralatan yang dicuri, wang tunai dalam peti besi (tertakluk kepada had), dan yang sering dilupakan, kerosakan fizikal premis semasa pecah masuk termasuk pintu roller, kunci, tingkap, sistem penggera, dan pendawaian.

Syarat Utama: Kebanyakan sijil memerlukan bukti kemasukan secara paksa (forced entry). Kecurian oleh pekerja yang mempunyai kunci bukan skop Pecah Masuk - itu skop Jaminan Kesetiaan. Kecurian semasa waktu operasi biasa (shoplifting) juga lazimnya tidak dilindungi.

Salah Anggap: "Ada CCTV dan sistem penggera, tak perlu." CCTV merakam tetapi tidak mengganti. Penggera berbunyi tetapi pencuri sudah mengambil stok bernilai RM100,000 dalam masa 10 minit sebelum pihak berkuasa tiba.
Wang Tunai (Money)

Apa Yang Dilindungi: Wang tunai dilindungi dalam beberapa keadaan berbeza, setiap satu mempunyai had tersendiri. Pertama, wang dalam transit (pekerja membawa ke bank). Kedua, wang dalam premis semasa waktu operasi (di kaunter, dalam mesin tunai). Ketiga, wang dalam peti besi selepas waktu operasi. Keempat, wang di kaunter selepas waktu operasi. Kelima, wang dalam simpanan peribadi pekerja yang diberi tanggungjawab.

Apa Yang Ramai Tidak Tahu: Had untuk setiap keadaan berbeza dan perlu ditetapkan secara berasingan. Wang dalam transit lazimnya mempunyai had lebih rendah daripada wang dalam peti besi. Dan jika anda menambah wang dalam premis tetapi tidak menambah wang dalam transit, risiko semasa perjalanan ke bank tidak dilindungi.

Salah Anggap: "Saya deposit setiap hari, risiko rendah." Restoran yang menjana RM8,000 tunai sehari mempunyai RM8,000 terdedah sepanjang hari. Hujung minggu cuti bank? RM24,000 dalam peti besi menunggu Isnin.
Liabiliti Awam (Public Liability)

Apa Yang Dilindungi: Tuntutan undang-undang oleh pihak ketiga (pelanggan, pelawat, pembekal, orang awam) atas kecederaan fizikal atau kerosakan harta benda mereka yang berlaku di premis anda, atau akibat aktiviti operasi perniagaan anda di luar premis. Merangkumi kos pembelaan undang-undang, yuran peguam, dan pampasan yang diperintahkan mahkamah.

Contoh Sebenar: Pelanggan tergelincir di lantai restoran yang basah dan patah tangan. Objek jatuh dari rak di kedai dan mencederakan kanak-kanak. Tanda papan kedai anda tertanggal dan jatuh menimpa kereta pelawat. Pekerja anda menghantar barang dan merosakkan harta pelanggan semasa pemasangan. Setiap satu boleh menjadi tuntutan undang-undang terhadap perniagaan anda.

Salah Anggap: "Pelanggan jatuh di kedai, salah dia sendiri." Jika mahkamah mendapati anda cuai kerana lantai licin tanpa tanda amaran, atau tangga rosak yang tidak dibaiki, anda bertanggungjawab. Satu tuntutan kecederaan serius boleh mencecah ratusan ribu ringgit.
Liabiliti Majikan (Employer's Liability)

Apa Yang Dilindungi: Tuntutan undang-undang oleh pekerja atas kecederaan, penyakit, atau kematian yang berkaitan dengan pekerjaan. Ini berfungsi di ATAS dan SELAIN perlindungan PERKESO. Merangkumi kos pembelaan undang-undang dan pampasan yang diperintahkan mahkamah.

Kenapa Perlu Walaupun Ada PERKESO: PERKESO menyediakan pampasan asas mengikut jadual yang ditetapkan. Tetapi pekerja mempunyai hak di bawah undang-undang sivil untuk menuntut pampasan tambahan jika dapat membuktikan kecuaian majikan. Contohnya, jika pekerja terjatuh dari perancah kerana majikan tidak menyediakan tali keselamatan yang diwajibkan oleh OSHA, PERKESO membayar pampasan asas, tetapi pekerja boleh menuntut majikan di mahkamah sivil untuk kehilangan pendapatan masa depan, kesakitan dan penderitaan, dan kos rawatan yang melebihi had PERKESO.

Salah Anggap: "PERKESO sudah cukup." PERKESO menyediakan pampasan asas mengikut jadual tetap. Tetapi pekerja masih boleh menuntut majikan di mahkamah sivil untuk jumlah yang jauh melebihi pampasan PERKESO. Satu kes kecederaan kekal boleh menghasilkan tuntutan jutaan ringgit.
Kerosakan Jentera (Machinery Breakdown)

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan mekanikal atau elektrikal secara tiba-tiba dan tidak dijangka kepada jentera dan mesin. Ini bukan kerosakan akibat kebakaran (itu dilindungi oleh peril asas), tetapi kerosakan dalaman seperti litar pintas dalam motor tanpa api, bearing pecah, overheating enjin, dan daya emparan berlebihan yang merosakkan komponen dalaman.

Kenapa Penting: Fire SME asas tidak melindungi kerosakan jentera yang bukan disebabkan oleh api, kilat, atau letupan. Jika motor kompresor anda terbakar secara dalaman (electrical burnout) tanpa menyebabkan kebakaran luaran, Fire SME asas TIDAK melindungi. Tambahan Kerosakan Jentera diperlukan.

Untuk Siapa: Bengkel, kilang pembuatan, restoran dengan peralatan industri (ketuhar komersial, penyejuk beku besar, mesin basuh industri), dan mana-mana perniagaan yang bergantung kepada jentera khusus yang mahal.

Salah Anggap: "Fire SME sudah lindungi semua kerosakan jentera." Tidak. Fire SME asas hanya lindungi kerosakan AKIBAT api, kilat, atau letupan. Jika motor kompresor terbakar secara dalaman (electrical burnout) tanpa menyebabkan kebakaran luaran, Fire SME asas tidak melindungi.
Peralatan Elektronik (Electronic Equipment)

Apa Yang Dilindungi: Kerosakan fizikal kepada peralatan elektronik termasuk komputer, pelayan (server), sistem POS (Point of Sale), sistem CCTV, sistem penggera, mesin fotostat, pencetak, dan peralatan telekomunikasi. Merangkumi kerosakan akibat lonjakan kuasa, litar pintas tanpa api, kelembapan, habuk, dan kecacatan bahan.

Tambahan Istimewa: Sesetengah sijil turut melindungi kos pemulihan data (data restoration) dan media storan luaran sehingga had tertentu. Ini penting untuk perniagaan yang bergantung kepada sistem IT untuk operasi harian.

Untuk Siapa: Hampir SEMUA perniagaan moden. Jika perniagaan anda menggunakan komputer, sistem POS, atau pelayan, peralatan ini mempunyai risiko kerosakan elektronik yang tidak dilindungi oleh Fire SME asas melainkan kerosakan itu disebabkan oleh api, kilat, atau letupan.

Salah Anggap: "Komputer rosak boleh claim Fire SME." Hanya jika kerosakan disebabkan oleh api, kilat, atau letupan. Kerosakan akibat lonjakan kuasa biasa, kelembapan, atau kegagalan komponen dalaman memerlukan tambahan Peralatan Elektronik secara khusus.

Kategori Khas: Semua Risiko (All Risk)

Semua tambahan di atas melindungi risiko TERTENTU yang dinamakan. Semua Risiko berbeza - ia ialah tambahan paling menyeluruh dan paling diminati, tetapi juga paling tinggi tarifnya.

Semua Risiko (All Risk)

Berbeza daripada semua tambahan lain yang melindungi risiko TERTENTU yang dinamakan, Semua Risiko membalikkan pendekatan: ia melindungi SEMUA risiko kerosakan fizikal KECUALI yang secara khusus dikecualikan. Ertinya, jika sesuatu peristiwa merosakkan Kandungan anda dan peristiwa itu TIDAK tersenarai dalam senarai pengecualian, ia dilindungi.

Contoh Yang Orang Tidak Jangka Tapi Dilindungi Oleh Semua Risiko:

Kerosakan Tidak Sengaja

Pekerja tidak sengaja menjatuhkan mesin bernilai RM50,000. Forklift terlanggar rak stok. Pelanggan menolak troli ke dalam peralatan paparan. Semua ini bukan kebakaran, bukan pecah masuk, bukan banjir - tetapi dilindungi oleh Semua Risiko.

Cecair Tumpah

Air atau bahan kimia tumpah ke atas pelayan (server) syarikat. Bukan paip pecah (itu Peril Khas), bukan banjir - sekadar kecuaian manusia. Kerosakan boleh mencecah puluhan ribu ringgit untuk peralatan IT. Semua Risiko melindungi.

Kerosakan Semasa Pengubahsuaian

Kontraktor yang membuat pengubahsuaian premis secara tidak sengaja merosakkan peralatan sedia ada. Paip terputus dan air menyembur ke stok. Dinding yang dirobohkan menimpa mesin. Bukan vandalisme, bukan bencana alam - kemalangan kerja.

Kerosakan Oleh Haiwan

Tikus menggigit kabel pendawaian menyebabkan kerosakan sistem. Burung masuk ke premis dan merosakkan inventori. Kucing liar menjatuhkan barang dari rak. Kedengaran remeh, tetapi kos pembaikan boleh signifikan.

Pengecualian Lazim

Haus Dan Lusuh

Kerosakan biasa akibat penggunaan harian. Ini bukan risiko, ia ialah jangkaan. Mesin yang rosak selepas 10 tahun penggunaan normal bukan tuntutan yang sah.

Kecacatan Sedia Ada

Kecacatan dalam reka bentuk atau bahan yang menyebabkan kerosakan. Jika mesin rosak kerana kecacatan kilang, itu tuntutan terhadap pengeluar, bukan Takaful.

Kemerosotan Beransur

Kakisan, reput, kelembapan yang berkumpul dari masa ke masa. Paip yang berkarat dan bocor selepas bertahun-tahun bukan kerosakan tiba-tiba.

Peperangan Dan Keganasan

Pengecualian sejagat dalam hampir semua produk Takaful dan insurans di seluruh dunia.

Kerosakan Disengajakan

Pemilik yang sengaja merosakkan aset sendiri untuk membuat tuntutan palsu. Ini bukan sahaja ditolak, tetapi boleh menjadi kesalahan jenayah.

Kenapa Tarif Paling Tinggi?

Semua Risiko mempunyai tarif sumbangan paling tinggi kerana skop perlindungannya paling luas. Pengendali Takaful menanggung risiko yang lebih besar kerana hampir semua jenis kerosakan fizikal dilindungi. Tetapi untuk perniagaan yang mempunyai aset bernilai tinggi dan pelbagai jenis risiko operasi, ia sering menjadi pilihan paling kos-efektif berbanding mengambil banyak tambahan individu secara berasingan.

05Jurang Yang Founder Tidak Sedar

Kebanyakan Founder percaya mereka "sudah ada Takaful." Tekan setiap jurang di bawah untuk memahami impak sebenar:

Ada HPRRT, Ingat Aset Dilindungi

Masalah: HPRRT melindungi hutang, bukan aset. Jika peralatan musnah tapi anda masih hidup, HPRRT tidak berbuat apa-apa.

Apa Yang Diperlukan: Fire SME Kandungan untuk melindungi aset itu sendiri. HPRRT dan Fire SME bukan pengganti antara satu sama lain - ia melindungi perkara yang berbeza.

Akibat: Ramai Founder membayar HPRRT selama bertahun-tahun dengan anggapan peralatan dilindungi. Anggapan ini hanya akan diuji apabila bencana berlaku, dan pada ketika itu sudah terlambat.

Ada Fire SME, Tapi Tak Kemas Kini Had

Masalah: Peralatan yang dibeli lima tahun lalu RM300,000 mungkin kini bernilai RM500,000 untuk diganti kerana inflasi dan kenaikan harga.

Apa Yang Diperlukan: Semakan had perlindungan setiap tahun oleh penasihat kewangan anda. Pastikan had sepadan dengan kos penggantian semasa, bukan nilai pembelian asal.

Akibat: Anda menanggung sendiri perbezaan RM200,000. Ini dipanggil perlindungan kurang dan ia berlaku lebih kerap daripada yang disedari.

Ada Fire SME, Tapi Tiada Gangguan Perniagaan

Masalah: Aset diganti, tapi siapa bayar gaji, sewa, dan ansuran selama tiga bulan premis ditutup untuk pembaikan?

Apa Yang Diperlukan: Tambahan Gangguan Perniagaan dengan tempoh indemniti yang realistik (minimum 3 bulan, idealnya 6-12 bulan bergantung kepada industri).

Akibat: Pekerja yang tidak dibayar akan berhenti. Pelanggan akan berpindah ke pesaing. Apabila premis siap, anda mungkin tiada pekerja dan tiada pelanggan.

Premis Sewa, Ingat Tuan Tanah Yang Tanggung

Masalah: Tuan tanah mungkin ada Fire SME untuk Bangunan, tapi Kandungan dalam premis sewa (peralatan, inventori, perabot anda) bukan tanggungjawab tuan tanah.

Apa Yang Diperlukan: Fire SME tersendiri untuk Kandungan anda. Anda penyewa, anda perlu perlindungan sendiri untuk barang anda.

Akibat: Ramai penyewa menganggap segala-galanya dilindungi oleh tuan tanah. Apabila kebakaran berlaku, mereka baru sedar Kandungan mereka bernilai ratusan ribu ringgit tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Audit Perlindungan Aset

Senaraikan setiap aset fizikal perniagaan. Untuk setiap satu, semak: adakah ia dilindungi? Oleh Takaful apa (hutang atau aset)? Adakah had perlindungan masih sepadan dengan nilai semasa? Dan yang paling penting: jika premis anda terbakar esok, adakah anda mempunyai perlindungan yang menampung bukan sahaja kos mengganti, tetapi juga kos untuk terus beroperasi?

Penafian Penting

Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan kesedaran am sahaja. Skop perlindungan sebenar, terma, syarat, dan pengecualian mungkin berbeza mengikut pengendali Takaful, jenis sijil, dan endorsemen yang dipilih. Sila semak sijil sebenar anda dan berbincang dengan penasihat kewangan berlesen untuk memahami perlindungan tepat yang terpakai kepada perniagaan anda.