Ramai yang pertama kali dengar istilah "Family Office" terus pelik dan tertanya, adakah ini bermaksud sebuah pejabat untuk keluarga? Ada pula yang dengar terma ini dan menganggapnya sebagai suatu instrumen yang hanya wujud untuk menguruskan harta golongan elit yang kaya raya. Boleh difahami kenapa kedua-dua tanggapan ini wujud, tetapi kedua-duanya terlepas pandang sesuatu.
Sebuah Family Office wujud untuk satu tujuan asas: menguruskan dan memelihara kekayaan keluarga, atau lebih dikenali sebagai Family Wealth, merentas generasi. Tetapi untuk benar-benar memahami konsep Family Office ini, kita tidak boleh mula dengan strukturnya atau sistem urus tadbir hartanya. Kita perlu mula dengan satu soalan lebih dalam dahulu, iaitu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Family Wealth itu? Sebab di sinilah kebanyakan orang sudah pun tersilap faham.
Anjakan PertamaFamily Wealth bukan sekadar wang
Bila kita kata sesebuah keluarga itu kaya, fikiran kita terus melompat kepada baki bank atau aset bersih keluarga tersebut. Tetapi mana-mana keluarga yang memiliki kekayaan merentasi generasi akan beritahu bahawa wang itu hanyalah satu bahagian kecil sahaja daripada sesuatu yang lebih besar. Ada satu perspektif lebih lengkap yang dipanggil Total Family Wealth, konsep yang dipelopori oleh James E. Hughes Jr., iaitu melihat Family Wealth sebagai gabungan lima jenis modal (capital), dan wang hanyalah satu daripadanya.
Anjakan ini mengubah cara kita melihat tujuan sebuah Family Office. Yang sebenar perlu diuruskan adalah kelima-lima modal ini secara keseluruhan; mengabaikan empat yang lain dan fokus hanya pada Modal Kewangan adalah sebab utama kekayaan jarang bertahan melepasi generasi ketiga.
Di sinilah satu salah faham yang besar sering berlaku, iaitu menyamakan Family Wealth dengan Business Wealth. Perniagaan keluarga, walau sebesar mana pun, hanyalah satu komponen di dalam Modal Kewangan, dan Modal Kewangan pula hanyalah satu daripada lima modal. Family Wealth jauh lebih luas, kerana ia merangkumi manusia, hubungan, ilmu, dan nama baik keluarga, bukan sekadar nilai sebuah syarikat.
Apabila dua perkara ini dicampuradukkan, masalah mula timbul. Ada keluarga yang menjadikan Family Office seperti sebuah unit perniagaan yang perlu untung, sehingga lupa tujuan asalnya ialah menjaga keluarga. Ada pula yang menguras kekayaan keluarga demi menyelamatkan perniagaan, tanpa sedar mereka sedang merobohkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada syarikat itu. Membezakan Family Wealth daripada Business Wealth sejak awal ialah langkah pertama untuk mengelak kekeliruan ini.
Keluarga Sebagai SistemJangan sibuk dengan puncak sehingga lupa asas
Analoginya, Family Wealth ini ibarat sebuah binaan berlapis, yang mudah untuk difahami melalui konsep yang dipanggil Model Lima Batu (Five Stone Model), satu rangka daripada IMD Global Family Business Center.
Struktur Model Lima Batu ini bermula dengan asasnya adalah Individu, kemudian Keluarga sebagai unit seterusnya, kemudian Pemilikan, kemudian Perniagaan, dan akhir sekali di puncak adalah peranan keluarga terhadap Masyarakat & Alam sekeliling. Susunan ini sengaja sebegini, kerana sesebuah binaan itu runtuh dari bawah, bukan dari atas.
Kesilapan paling lazim ialah keluarga taksub dengan bahagian puncak, iaitu perniagaan dan legasi, sehingga mengabaikan asas, iaitu kesejahteraan individu dan keutuhan hubungan. Sebuah perniagaan hebat tidak bermakna apa-apa jika adik-beradik tidak bertegur sapa. Dan apa yang sebenarnya mengikat keluarga di setiap lapisan ini ialah Nilai Keluarga (Family Values) yang dikongsi bersama, kerana nilai itulah yang paling penting diwarisi, bukan sekadar harta.
Sebelum sesebuah keluarga tanya apa yang patut dilakukan dengan kekayaannya, ia perlu menjawab empat soalan asas: Siapa Kita, Apa Yang Kita Miliki, Bagaimana Kita Ditadbir, dan Apakah Peranan Kita Kepada Masyarakat.
Di Mana Semuanya BertindihKeluarga, Pemilikan, dan Perniagaan
Di sinilah perniagaan keluarga jadi rumit, dan di sinilah hampir semua konflik berpunca. Setiap Individu dalam sebuah perniagaan keluarga berdiri di suatu kedudukan dalam tiga bulatan yang bertindih, sebuah model klasik yang dikenali sebagai Three Circle Model (Tagiuri & Davis). Masalah timbul apabila peranan bercampur aduk, iaitu apabila seorang itu tak pasti dia sedang bercakap sebagai ahli Keluarga, sebagai Pemilik, atau sebagai Pengurus dalam Perniagaan. Dan apabila peranan-peranan itu tidak jelas, keputusan mula dicampur dengan emosi yang sepatutnya tidak ada dalam bilik mesyuarat.
Salah satu fungsi paling berharga sebuah Family Office, dalam apa jua bentuk, ialah memisahkan peranan-peranan ini dengan jelas, supaya keputusan perniagaan dibuat atas asas perniagaan, dan urusan keluarga diuruskan sebagai keluarga. Setiap zon di atas ada alat tadbir urusnya yang tersendiri.
Definisi SebenarJadi, apa itu Family Office?
Dengan kesemua asas tadi, kita sudah boleh tetapkan definisi sebenar sebuah Family Office. Bahasa mudahnya, Family Office adalah satu struktur yang menguruskan harta peribadi sesebuah keluarga secara korporat, iaitu dengan kerangka, disiplin, dan tadbir urus (governance) seperti sebuah syarikat menguruskan asetnya. Tetapi yang lebih tepat, apa yang diuruskannya bukan sekadar harta, sebaliknya Family Wealth seperti definisi di atas tadi, iaitu kelima-lima modalnya merentas generasi, merangkumi pelaburan, perancangan pewarisan, pendidikan generasi seterusnya, dan peranan kepada masyarakat. Yang penting, ia wujud dalam satu spektrum, bukan satu bentuk tunggal.
Cara paling jelas memahaminya ialah dengan melihat ia sebagai satu perjalanan yang berkembang ke luar, lapisan demi lapisan. Ia bermula dengan pembentukan Individu yang berilmu dan berakhlak, kemudian meluas kepada Keluarga yang utuh dan bersatu. Daripada keluarga yang kukuh inilah lahirnya Family Office yang menguruskan Family Wealth secara teratur, dan apabila ia matang dan mantap, barulah ia mampu memberi Impak kepada masyarakat yang lebih luas. Setiap lapisan menjadi asas kepada lapisan berikutnya, dan tiada satu pun boleh dilangkau.
Spektrum itu terbentang dari pejabat keluarga tunggal (Single Family Office, SFO) yang dibina untuk melayan satu keluarga sahaja, hinggalah ke pejabat keluarga berbilang (Multi-Family Office, MFO) yang berkongsi kos dan kepakaran antara beberapa keluarga, dengan bentuk yang lebih ringan seperti pejabat keluarga maya (Virtual Family Office) di antaranya. Tetapi memilih bentuk mana yang sesuai ialah keputusan struktur, dan itu datang kemudian, bukan titik permulaan.
Seperti yang sering disebut dalam bidang ini, jika anda pernah lihat satu Family Office, anda baru lihat hanya satu Family Office sahaja, kerana setiap satu Family Office itu adalah unik mengikut keluarganya.
Kenapa Keluarga MenubuhkannyaBukan untuk jadi lebih kaya
Pencetus paling lazim ialah satu peristiwa cair tunai (liquidity event) yang besar, iaitu menjual perniagaan atau penyenaraian awam. Tiba-tiba ada sejumlah besar wang yang perlu diuruskan secara strategik. Tetapi itu hanya satu daripada banyak sebab. Tiga yang paling utama:
Ini baru tiga. Sebenarnya ada sekurang-kurangnya 14 sebab kenapa sesebuah keluarga menubuhkan Family Office, daripada mengasingkan hal peribadi dan perniagaan, mendidik generasi baharu, menjaga privasi, sehinggalah menyelaras tadbir urus. Kesemuanya, dengan butiran penuh setiap satu, dikupas dalam artikel Kenapa Keluarga Menubuhkannya.